Showing posts with label Pahrol Mohd Juoi. Show all posts
Showing posts with label Pahrol Mohd Juoi. Show all posts

Monday, 18 February 2013

Pendapat Penceramah dan Pakar Motivasi, Pahrol Mohd Juoi Tentang Penglibatan Golongan Ulama dalam Pilihan Raya

SHAH ALAM - Penglibatan golongan ulama dalam pilihan raya tidak salah jika seseorang tokoh ulama itu mempunyai kewibawaan dan kekuatan untuk membentuk sahsiah masyarakat yang lebih baik, kata Penceramah dan Pakar Motivasi, Pahrol Mohd Juoi.





Merujuk sejarah Islam katanya, terdapat dua keadaan dan dua golongan  dalam sesebuah masyarakat iaitu umara dan ulama.


“Umara adalah individu yang menjadi pemimpin, manakala ulama adalah penasihat. Keadaan pertama ialah umara dan ulama adalah dua individu berbeza, manakala keadaan kedua di mana seorang individu menjadi pemimpin sekali gus penasihat.


“Pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafa Ar-rasyidin, Baginda dan para sahabat merupakan pemimpin sekali gus ulama ke atas kepimpinan dan masyarakat. Manakala tokoh ulama besar seperti Imam Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi tidak menceburi politik tetapi menjadi penasihat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Pahrol berkata, penglibatan ulama dalam politik perlu merujuk kepada keadaan semasa dan kewajaran.


“Jika golongan pemimpin sedia ada hanya mendengar nasihat daripada golongan ulama seperti melepaskan batuk di tangga, maka ada kewajaran ulama sendiri yang menjadi pemimpin.


“Kalau suara Islam boleh didengar dengan banyaknya ulama di dalam Parlimen, bersama menentukan dasar pentadbiran negara atau menggubal undang-undang misalnya,” katanya.


Melihat siasah politik semasa, Pahrol berkata, sekiranya seseorang ulama mahu menjadi pemimpin masyarakat melalui parti politik perlulah berhati-hati.


Ini kerana menurutnya, norma-norma politik yang wujud seperti gejala fitnah-memfitnah, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya, berkemungkinan akan menikam diri sendiri.


“Sekiranya menjadi calon pilihan raya pastinya tidak akan terlepas daripada kegiatan berkempen dan sebagainya. Jadi mereka perlu berhati-hati.


“Ulama yang ingin menjadi ahli politik mestilah mempunyai kelebihan dan kewibawaan untuk menjadi pemimpin,” tegasnya.